Wednesday 8 July 2009

Hak Muslim: Isteri didera keluar rumah bukan kes nusyuz

Soalan:
BEBERAPA tahun lalu, ibu saya berkahwin baru selepas lima tahun bapa meninggal dunia. Sebagai anak saya berharap ibu hidup bahagia bersama suaminya. Namun, harapan saya musnah kerana bapa tiri seorang yang panas baran dan sering mencederakan ibu apabila berlaku pertengkaran. Ibu sering dipukul hingga lebam, berdarah di bibir dan pipi. Akibat keganasan yang sering berlaku, ibu menjadi murung dan sering sakit serta takut dengan bapa tiri. Ibu takut untuk membuat aduan kerana bimbang dicederakan lebih teruk oleh bapa tiri. Beberapa minggu lalu, ibu saya dipijak bapa tiri di bahagian dada apabila cuba keluar dari rumah. Bagaimana cara saya dapat menyelamatkan ibu daripada keganasan bapa tiri dan jika ibu keluar dari rumah bolehkah beliau disabitkan nusyuz. Siti, Sungai Buloh, Selangor.


Jawapan:
Berdasarkan kisah diceritakan, jelas ibu saudari mengalami penderaan secara fizikal, mengikut peruntukan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994. Berdasarkan peruntukan itu, seseorang dilindungi mengikut akta apabila:
· timbulkan ketakutan akan dicederakan;
· mangsa dicederakan secara fizikal;
· mangsa dipaksa secara kekerasan atau ancaman untuk tindakan seksual;
· mangsa dikurung atau ditahan secara paksa;
· harta mangsa dirosakkan oleh pelaku keganasan. Berdasarkan peruntukan, ada tiga jenis perintah yang boleh dimohon mangsa iaitu perintah perlindungan sementara (IPO), perintah perlindungan dan perintah injunksi atau tegahan diri daripada Mahkamah Tinggi Syariah.
Perintah perlindungan sementara adalah perintah yang boleh dimohon mangsa untuk mendapatkan perlindungan, sementara kes dalam tempoh siasatan polis dan akan terhenti apabila kes selesai disiasat. Sementara perintah perlindungan pula adalah perintah yang boleh dimohon mangsa selepas pelaku selesai disiasat dan dilepaskan dengan jaminan atau kompaun. Perintah itu hanya bertahan setahun. Perintah tegahan pula adalah perintah yang boleh dimohon di Mahkamah Syariah mengikut seksyen 107 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 di mana berdasarkan peruntukan yang ada, Mahkamah Syariah berbidang kuasa untuk mengeluarkan perintah: "...memerintahkan seseorang menahan dirinya daripada mengganggu atau menceroboh dengan apa-apa carapun ke atas isteri, bekas isteri sepanjang tempoh perbicaraan hal ehwal suami isteri sedang berjalan." Perkara pertama yang perlu dibuat mangsa adalah membuat laporan di Balai Polis berdekatan secepat mungkin. Banyak kes dilaporkan menunjukkan kegagalan mangsa membuat laporan dengan menunggu 72 jam selepas kejadian. Mangsa juga perlu mendapatkan rawatan dan surat pengesahan doktor membuktikan dirinya cedera akibat didera suami mangsa dari hospital berdekatan. Oleh itu, bagi menyelamatkan ibu saudari daripada keganasan bapa tiri, langkah yang perlu diambil adalah membawa keluar ibu saudari daripada rumah kelamin untuk mendapatkan perlindungan pihak berkuasa iaitu dengan mendapatkan perintah perlindungan sementara. Memandangkan ibu saudari tinggal di sekitar Sungai Buloh, Selangor maka hospital yang terdekat adalah Hospital Sungai Buloh, salah satu daripada enam hospital di Selangor yang mempunyai perkhidmatan One Stop Crisis Center (OSCC). Pusat sehenti menamatkan krisis itu membolehkan mangsa keganasan rumah tangga diletakkan di satu tempat khas dan berasingan daripada pesakit lain untuk mendapat rawatan doktor dan kaunselor bertugas. Mangsa akan diberi bantuan dari segi sokongan emosi dan kaunseling. Selepas mendapat rawatan, mangsa tidak perlu pergi ke balai polis sebaliknya hanya perlu membuat laporan kepada polis yang bertugas di pusat OSCC. Tindakan isteri keluar rumah akibat penderaan fizikal oleh suami tidak boleh menyebabkan isteri diisytihar nusyuz kerana perbuatan keluar daripada rumah kelamin adalah termasuk dalam usaha perlu dilakukan bagi menyelamatkan daripada darar syarie yang berlaku ke atas tubuh badannya yang diiktiraf hukum syarak. Ini selari peruntukan seksyen 60 Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 di bawah kuasa mahkamah mengisytiharkan nusyuz terhadap isteri yang memasukkan peruntukan, "...apa-apa sebab yang sah mengikut hukum syarak." Jawapan disediakan Penolong Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Marlina Amir Hamzah.

Hanya sifat tawaduk mampu kikis sombong, takbur Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh(Dipetik dari Berita Harian)

MEMBANTU mereka dalam kesusahan antara sifat insan yang rendah hati, berbudi bahasa dengan manusia seluruhnya.Umat Islam dituntut tingkat ketakwaan, semangat silaturahim sesama manusia - Gambar hiasan


SESIAPA saja yang jujur kepada petunjuk agama dan reda dengan panduan kehidupan sebagai seorang Muslim pasti tidak sanggup bersikap takbur serta membesarkan diri hanya supaya dipandang tinggi oleh orang lain. Akhlak mulia bukan dinilai dengan wang ringgit dan harta berbukit tetapi sifat insan yang rendah hati, berbudi bahasa apabila bermuamalat dengan Allah serta manusia seluruhnya. Tidak dinafikan, hari ini pangkat dan rupa menjadi taruhan walaupun bukan dalam segenap bidang, tetapi ilmu dan takwa jugalah yang berpanjangan dan kekal bertahan. Walau tidak dapat dinilai dengan mata kasar, penangan ilmu dan manfaatnya kepada orang lain tinggi nilainya, sehingga mampu mencelikkan hati yang buta dengan kejahilan serta kesesatan.

Justeru, takbur dengan habuan dunia yang sekelumit cuma berbanding ganjaran kekal di akhirat kelak bagaikan perbandingan antara air dan api, yang terlalu jauh bezanya. Kecantikan, harta benda, nasab dan kedudukan tinggi ketika di dunia yang menjadikan seseorang itu takbur dan berbangga dengan harapan dipuja serta dipuji oleh orang lain akan menghalang pelakunya merasai kenikmatan hidup di akhirat yang kekal abadi. Sebaliknya, jika kelebihan direzekikan Allah dimanfaatkan untuk orang lain serta menjadikannya insaf seterusnya menghambakan dirinya kepada pemiliknya yang asal, habuan diterima adalah bonus yang mempunyai kiraan di sisi Allah.
Firman Allah yang bermaksud: "Negeri akhirat itu kami jadikan untuk orang yang tidak ingin menyombongkan diri dan berbuat kerosakan di muka bumi dan (kesudahan yang baik) itu adalah bagi orang bertakwa." (Surah al-Qasas, ayat 83) Peringatan Allah itu mengingatkan kita bahawa seolah-olah tiada kehidupan yang baik buat orang sombong dan takbur di akhirat kelak, melainkan hamba-Nya yang bertakwa saja. Orang sombong tidak disukai Allah. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia kerana sombong dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong lagi membanggakan diri." (Surah Luqman, ayat 18) Dengan menghayati sunnah Rasulullah SAW juga kita akan cepat menyedari Baginda sangat menitikberatkan hubungan baik sesama insan, hormat menghormati serta tidak sombong, walaupun apabila berdepan dengan musuh.
Bahkan sifat pemaaf Baginda SAW sepatutnya menjadi perangsang untuk membina silaturahim dengan sesiapa saja walaupun dengan orang yang sudah menzalimi kita jika ia kembali kepada Allah dan Rasul-Nya. Apa yang ditonjolkan Rasulullah SAW kepada sahabat dan umat Islam seluruhnya melalui sirah dan kisah sahabat yang disampaikan kepada kita hingga kini adalah demi menjaga umat Baginda supaya tidak menghuni neraka. Diriwayatkan daripada Harithah bin Wahab, sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Mahukah aku khabarkan kepadamu sikap penghuni neraka, orang yang berperangai kasar, mendabik dada saat berjalan lantaran sombong." (Muttafaq 'alaih) Orang yang takbur bukan saja menolak kebenaran kerana dunia tetapi juga meremehkan orang lain untuk meninggikan dirinya dan inilah yang dikatakan mendabik dada saat berjalan lantaran sombong. Hadis sahih riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidak masuk syurga orang yang ada dalam hatinya seberat biji sawi dari kesombongan. Maka seorang lelaki bertanya: Sesungguhnya seseorang menyukai pakaiannya yang bagus dan seliparnya yang elok. Nabi menjawab: Sesungguhnya Allah Maha Indah dan menyukai keindahan, sombong itu menolak kebenaran dan meremehkan manusia." Seperti orang yang sombong menghina orang lain di dunia begitulah juga di akhirat kelak apabila mereka turut mendapat kehinaan Allah seperti yang dijanjikan. Allah tidak akan memandang mereka, berbicara dengan mereka atau menyucikan mereka dan inilah kehinaan yang sebenar-benar hina. Orang yang takbur dengan habuan dunia lupa bahawa sombong adalah pakaian Allah, iaitu hak uluhiyah-Nya yang tidak boleh dirampas oleh sesiapa seperti dinyatakan dalam hadis diriwayatkan Muslim yang bermaksud: "Perkasa adalah kain sarung-Ku dan sombong ialah pakaian-Ku, barang siapa menandingi Aku daripada salah satu dari keduanya, nescaya Aku akan menyeksanya." Bukan mudah mencabut akar umbi kesombongan yang sudah berselirat dalam diri. Kerana itulah orang bersifat tawaduk cuba untuk menghambakan diri serendah-rendahnya kepada Ilahi untuk menjauhi sikap takbur dan riak. Hubungan baik sesama manusia juga bertitik tolak daripada hubungan baik dengan Allah. Justeru, orang yang tinggi sifat kehambaannya akan merendah hati apabila bermuamalah sesama makhluk. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis diriwayatkan Muslim yang bermaksud: "Tidak ada seorang pun yang bertawaduk kerana Allah kecuali Allah akan meninggikan darjatnya." Sesiapa yang membuka lebaran sirah Rasulullah SAW pasti akan mengetahui keperibadian Baginda yang agung yang menjadi teladan kepada seluruh umat manusia apabila berurusan dengan Tuhan dan manusia. Usahkan sombong dengan yang Maha Pencipta, Rasulullah SAW juga tidak sombong dengan isteri-isteri, sahabat, pemimpin pada masa Baginda bergelar ketua negara, rakyat jelata, hatta fakir miskin pun Baginda hormati. Inilah akhlak yang Baginda pertahankan sesuai dengan pesanan Allah yang dirakamkan dalam wahyu Ilahi kepada Baginda. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mewahyukan kepadaku supaya kalian merendah hati, hingga tidak ada orang yang berasa lebih tinggi daripada yang lain dan tidak ada orang yang berbuat zalim kepada yang lainnya."